Top Ad 728x90

15 Julai 2019

,

Kad Debit-i Bank Islam BIMB - UiTM

 

Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) hari ini melancarkan ‘Kad Debit-i Alumni’ sebagai usaha untuk membantu universiti itu menjana pendapatan jangka panjang.

Kad yang memaparkan logo UiTM, boleh dimiliki oleh pemegang kad Bank Islam khususnya kakitangan UiTM, pelajar dan alumni dengan cara menukar kad debit sedia ada di cawangan bank itu ataupun menambah koleksi kad dengan menjadi pelanggan baharu bank berkenaan.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim, berkata kad debit UiTM- Bank Islam adalah antara usaha sama kedua-dua pihak dalam usaha menjana hasil, selain sebagai penjenamaan kepada UiTM.

Menerusi kerjasama itu, RM4 daripada caj tahunan yang dikenakan ke atas pemegang kad akan disalurkan ke akaun alumni universiti. 

“Selain menikmati faedah kad debit, saya percaya dengan statistik kakitangan, pelajar dan alumni UiTM yang ramai, kita secara langsung menyumbang kepada proses penjanaan pendapatan universiti,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Kad Debit-i Alumni Bank Islam Malaysia, di UiTM di sini, hari ini. Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd Muazzam Mohamed.

Mohd Azraai berkata, BIMB adalah bank utama untuk UiTM sejak 2004, yang mana 75 peratus kakitangan serta 95 peratus pelajar universiti itu pemegang kad Debit-i Bank Islam Visa.

“Kerjasama ini juga dilihat sebagai satu inisiatif berkesan dalam merancakkan persekitaran ‘Cashless University’ yang sedang diusahakan oleh Pejabat Bendahari,” katanya.

Sementara itu, Mohd Muazzam berkata, pihaknya menyasarkan lebih 30,000 kad BIMB dengan jenama UiTM akan digunakan oleh warga universiti berkenaan.

“Kad debit ini bukan sahaja mempunyai reka bentuk yang unik dan menarik, malah pemegang kad secara langsung dapat menyumbang kepada pendapatan tabung alumni universiti.

“Hasil yang akan disalurkan ke tabung alumni akan digunakan untuk membantu pelajar dalam menjalankan aktiviti serta bantuan kewangan bagi pelajar kurang berkemampuan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih malah berbangga kerana BIMB diberi kepercayaan untuk menjadi bank utama UiTM sejak 2004 dan saya mengharapkan kerjasama ini dapat memanfaatkan kedua-dua pihak,” katanya.

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90