Top Ad 728x90

29 September 2020

,

Peniaga mikro boleh mohon semula GKP bermula 1 Oktober 2020

geran khas prihatin untuk peniaga mikro

 

Peniaga mikro yang sebelum ini tidak berkesempatan untuk mendapatkan Geran Khas Prihatin (GKP), boleh memohonnya bermula 1 Oktober ini, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, kerajaan mendengar dan amat prihatin terutama kepada kelangsungan peniaga mikro dan membuka semula permohonan GKP itu.

Katanya, kepada mereka yang layak tetapi tidak berkesempatan untuk mendapatkan GKP terdahulu, permohonan ini boleh dibuat bermula 1 Oktober hingga 31 Oktober 2020 dan bayaran disasarkan akan dibuat mulai 25 November 2020.

"Bagi Program Subsidi Upah 2.0 (PSU 2.0) yang membabitkan peruntukan RM2.4 bilion, kerajaan sedar masih ada syarikat yang mengalami kekangan aliran tunai.

"Bagi membantu syarikat yang mengalami pengurangan hasil sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding tahun lalu, mereka boleh memohon subsidi upah pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksimum 200 pekerja.

"Permohonan akan dibuka dari 1 Oktober sehingga 31 Disember 2020. Langkah ini dijangka akan memanfaatkan 1.3 juta pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan LAKSANA Ke-23 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) secara maya, semalam.

Tengku Zafrul berkata, pada 23 September lalu, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: KITA PRIHATIN bernilai RM10 bilion yang bertujuan untuk meringankan beban rakyat; mengekalkan pekerjaan dan membantu perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, di bawah KITA PRIHATIN, kerajaan turut mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 dengan peruntukan RM7 bilion.

"Kerajaan mengambil maklum kesukaran yang masih dihadapi oleh golongan B40 dan M40. Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran, pertamanya pada hujung bulan Oktober 2020 dan keduanya, pada bulan Januari 2021.

"Tiada permohonan perlu dibuat bagi penerima BSH. Hanya penerima yang tidak pernah menerima bantuan BSH atau BPN sebelum ini perlu memohon," katanya.

Tengku Zafrul berkata, soalan-soalan lazim bagi ketiga-tiga langkah ini boleh didapati melalui pautan www.treasury.gov.my/index.php/KitaPrihatin2020.

"Ketiga-tiga langkah ini dengan suntikan fiskal tambahan RM10 bilion ini dijangka akan menyumbang 3.7 hingga 4.0 mata peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara 2020.

"Kerajaan yakin bahawa KITA PRIHATIN akan mengekalkan momentum pemulihan bagi petunjuk-petunjuk ekonomi seperti penurunan kadar pengangguran, peningkatan Indeks Pengeluaran Perindustrian, peningkatan Indeks Pelopor, selain sektor runcit dan rekreasi," katanya.

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90