Top Ad 728x90

24 Oktober 2020

,

Minggu Saham Digital PNB 2020

 

Selaras dengan perkembangan transformasi digital, Permodalan Nasional Berhad (PNB) menganjurkan Minggu Saham Digital (MSD) buat pertama kali bermula 18 hingga 24 November ini melalui aplikasi Facebook dan YouTube.

Acara digital tujuh hari itu akan disiarkan secara langsung setiap hari antara pukul 12.30 tengah hari dan 10.30 malam bagi memberi peluang kepada pemegang unit PNB mendapat gambaran bagaimana pelaburan mereka menyumbang kepada kekuatan ekonomi Malaysia.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, PNB telah berjaya meletakkan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) sebagai acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan dengan pelbagai aktiviti pendidikan yang mesra keluarga selama dua dekad.

“Bagaimapaun, MSD adalah bukti bagaimana PNB terus berkembang serta mendukung cara baharu dan menarik untuk mendekati pemegang unit kami dan rakyat Malaysia secara umumnya, dengan matlamat untuk memperkasakan literasi kewangan melalui platform digital yang mudah untuk dilayari.

“Acara ini merupakan satu langkah penting ke arah perjalanan transformasi organisasi PNB yang lebih luas. Dengan menganjurkan acara tahunan kami secara dalam talian, semua lapisan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur boleh menikmati pelbagai kandungan aktiviti menarik di kediaman mereka sendiri atau di mana sahaja mereka berada, kerana semuanya kini mudah diakses hanya di hujung jari,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pelbagai aktiviti boleh dimanfaatkan daripada siri forum dan webinar pendidikan, kepada segmen-segmen yang menghiburkan seperti konsert maya.

Menurut PNB, menerusi acara digital yang lain daripada yang lain itu, peserta juga boleh menyertai acara permainan, rancangan memasak, eksperimen sains yang unik, pertandingan pencarian harta karun maya, ‘Eh, Mana Kod?’ serta pertandingan lakaran pelitup muka, #LakaranJuara.

Peserta berpeluang memenangi hadiah-hadiah bernilai lebih RM500,000 termasuk sebuah Ford Ranger 2.0L XLT 4WD (10AT), Toyota Vios 1.5G (AT), Perodua Aruz 1.5AV (AT), Honda CBR250, lapan buah Honda Dash 125S dan e-baucar Lazada bernilai lebih RM180,000 tertakluk pada peraturan, terma dan syarat.

Rakan korporat PNB untuk MSD terdiri daripada tiga peringkat iaitu kategori Rakan Premier ialah Maybank Berhad, Sime Darby Plantation Berhad dan UMW Holdings Berhad; Rakan Utama pula terdiri daripada Sime Darby Berhad, Sime Darby Property Berhad, SP Setia Berhad, MIDF Berhad dan Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua).

Bagi kategori Rakan terdiri daripada MNRB Holdings Berhad, CCM Berhad, Duopharma Biotech Berhad, Velesto Energy Berhad, Sapura Energy Berhad dan Projek Lintasan Kota Hol­dings (Prolintas).

PNB akan mengumumkan tetamu dan personaliti jemputan serta jadual program pada minggu akan datang. Bagi maklumat lanjut, layari www.minggusahamdigital.com.my atau @minggusahamdigital di Instagram dan Facebook. 

Sumber : Utusan 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90