Top Ad 728x90

8 April 2021

, , , , ,

Temujanji Buka Akaun Bank Islam tanpa perlu ke cawangan

 

Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) terus melaksanakan proses transformasi digital bagi menaik taraf serta mempertingkatkan mutu dan operasi perbankannya dengan memperkenalkan saluran pendaftaran lengkap mudah alih.

Saluran pendaftaran lengkap mudah alih (MOB) ini memberikan perkhidmatan perbankan seperti pembukaan akaun dan pengeluaran kad debit serta-merta, tanpa perlu ke cawangan untuk proses pengesahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata kumpulan mencapai satu lagi kejayaan dalam pendigitalan dan menjadi bank pertama di Malaysia yang menggunakan sistem MOB.

Beliau berkata, perkhidmatan perbankan depan pintu (door-step banking) baharu melalui MOB akan mempercepat lagi proses pembukaan akaun sedia ada dan membolehkan pengeluaran nombor akaun serta kad debit dibuat dengan serta-merta.

Katanya, perkhidmatan baharu ini tidak lagi memerlukan pelanggan mengunjungi cawangan bank bagi proses pengesahan.

"Kemudahan digital baharu Bank Islam ini memberikan kemudahan dan fleksibiliti kepada pelanggan di samping memberikan pengalaman perbankan yang mudah, selamat dan cekap, dengan mengambil kira situasi pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebagai sebuah bank yang menekankan inovasi dan keselesaan, kami berhasrat untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan memastikan produk serta perkhidmatan Bank Islam seiring dengan ikutan dan keperluan semasa.

"Pelancaran MOB ini tepat pada masanya kerana situasi yang dialami ketika ini disebabkan COVID-19 membantu meningkatkan keperluan beralih ke perkhidmatan perbankan inovatif yang cekap dan selamat," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Muazzam berkata, Bank Islam sebelum ini memperkenalkan platform Pembukaan Akaun Maya (VAO) yang membolehkan pelanggan mengisi maklumat secara dalam talian, tetapi masih memerlukan proses pengesahan diselesaikan di cawangan.

Beliau berkata, dengan menggunakan MOB, ia hanya akan mengambil masa enam minit termasuk penyediaan kad debit dan tiada sebarang caj dikenakan.

Perkhidmatan hanya dengan janji temu itu katanya tersedia di seluruh negara dari 9 pagi hingga 10 malam setiap hari, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Bagi membuat janji temu, perlu mengisi borang secara atas talian di https://vao.bankislam.com.my/sales/ dan kami akan menghubungi pelanggan untuk mengesahkan permohonan.

"Pelanggan hanya perlu menyediakan MyKad dan dokumen sokongan lain yang berkaitan semasa janji temu," katanya.

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90