Top Ad 728x90

19 Jun 2021

,

Mengaji al-Quran tajamkan fikiran jadi amalan pelajar cemerlang

 

Mengaji al-Quran dan solat hajat setiap hari menjadi amalan seorang pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan Mumtaz Sofi dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020.

Pelajar dari Sekolah Maahad Muhammadi Lelaki, Muhammad Amnan Hazimi Che Mat, 19, memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang) bagi 10 mata pelajaran yang diambil.

Katanya, bagi menajamkan fikiran untuk menghafal pelajaran, dia mengamalkan baca al-Quran selepas solat Maghrib setiap hari.

"Bacaan al-Quran ini penting kerana saya perlu tajamkan fikiran memandangkan subjek STAM ini kesemuanya perlu menghafal.

"Jika fikiran tenang, proses menghafal juga akan jadi lebih senang dan mudah mengingati setiap subjek yang dipelajari.

"Selain itu, saya akan fokus dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta bertanya kepada guru jika tidak memahami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Enggang di Kota Bharu.

Anak ketiga daripada lima beradik itu mengakui terkejut dengan keputusan itu dan bersyukur kerana dapat memberi yang terbaik kepada kedua-dua ibu bapanya.

Katanya, dia menghadiahkan keputusan itu kepada ayahnya, Che Mat Che Daud, 53, dan ibu, Malita Mohd Zain, 49, yang masing-masing bekerja sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Juruteknologi Maklumat Kesihatan Awam Perol di Batu Lapan.

"Alhamdulillah atas keputusan ini dan saya bercadang menyambung pelajaran dalam bidang perundangan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, Che Mat bersyukur atas pengorbanan dan usaha anaknya itu untuk mencapai cita-citanya.

"Sebagai bapa, saya dan isteri sentiasa memberi semangat kepada anak untuk meneruskan usaha, terutama dalam menelaah pelajaran kerana kami tahu belajar di musim pandemik COVID-19 ini sangat mencabar dan perlu kesabaran," katanya.

Sumber dari Berita Harian

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90