Top Ad 728x90

29 Jun 2021

,

Niaga di Shopee

 

Membaca kisah kejayaan beberapa penjual wanita Shopee di media sosial yang sebelum ini menghadapi saat sukar untuk menembusi perniagaan e-dagang pada peringkat awal pastinya akan meruntun hati, tetapi semangat juang mereka selain mendapat pelbagai sokongan dan kemudahan yang disediakan Shopee telah membolehkan mereka menyusun langkah hari demi hari.

Bermula hanya dengan jualan RM30 pada bulan pertama dan mengikuti ilmu asas berniaga di Shopee secara percuma pastinya telah membuka hati dan minda usahawan baharu untuk melonjakkan jualan hingga mencatat kepada enam angka pertumbuhan jualan.

Tiada yang lebih membanggakan buat Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan Shopee Malaysia, Zed Li apabila melihat seorang demi seorang usahawan wanita yang dulunya hanya seorang suri rumah dan ada juga daripada golongan kelainan upaya kini mampu mengubah taraf hidup keluarganya dengan tambahan pendapatan yang agak lumayan.

“Tiada yang mustahil buat mereka yang berusaha, dalam persekitaran yang kompetitif kini, masih terdapat peluang bagi mana-mana usahawan untuk berkembang dengan mencabar diri menjadi lebih baik daripada pesaing dengan menawarkan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya kepada Kosmo! dalam temu bual melalui e-mel baru-baru ini.

Dalam sesi temu bual itu, Li memperincikan perubahan trend penjual wanita yang kini terarah kepada jualan produk yang dulunya dimonopoli oleh kaum lelaki seperti akseori kereta dan juga gajet serta beliau memaklumkan Pakej Bantuan Peniaga Baharu untuk membantu kumpulan usahawan untuk mula berniaga sebagai ikhtiar kelangsungan hidup keluar daripada kemelut kewangan akibat pandemik Covid-19.

Berapa ramaikah penjual yang ada di Shopee pada masa sekarang?

 
Sehingga suku pertama tahun ini, terdapat 2,800 jenama dan peruncit rasmi di Shopee Mall, manakala penjual pasaran yang aktif pula terdiri daripada 1.5 juta orang.

Pandemik Covid-19 telah mendorong kepada pertumbuhan e-dagang, ramai usahawan yang telah beralih kepada platform tersebut, berapa ramaikan penjual wanita di Shopee. Apakah pendapat anda me­ngapa jumlah usahawan bertambah?

 
Pembahagian dalam kalangan penjual lelaki dan wanita di platform kami agak sekata, ini kerana sesiapapun boleh memuat naik sesebuah produk dan mula menjual di Shopee dalam masa 30 saat kerana muka platform kami adalah mesra pengguna dan diintegrasikan dengan perkhidmatan bayaran dan logistik yang cekap.

Selain itu, penjual juga boleh menguruskan perniagaan secara online dengan hanya menggunakan telefon pintar kerana Sho­pee adalah platform yang menekankan aspek mudah alih.

Ini membolehkan penjual mudah menerima pesanan atau membalas pertanyaan melalui fungsi chat dalam aplikasi ini tidak kira di mana sahaja mereka berada. Kemudahan ini membuka peluang baharu untuk suri rumah aktif berniaga.

Bagaimana syarikat membantu golongan ini berniaga dalam platform e-dagang?

 
Kami mengadakan lebih kurang 50 kelas maya sebulan menerusi program bengkel e-dagang secara percuma iaitu melalui Shopee University.

Para penjual boleh mendaftar untuk kelas-kelas ini, bergantung kepada jadual masing-masing untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Kelas-kelas tersebut merangkumi kemahiran asas penjualan secara online seperti cara membuka akaun, cara menulis deskripsi produk yang baik, cara merakam gambar yang lebih baik, sehinggalah topik yang le­bih komprehensif seperti menambah baik perkhidmatan pe­langgan dan cara menggunakan iklan untuk meningkatkan jualan.

Untuk penjual baharu, kami juga memahami bahawa mereka memerlukan sedikit bantuan untuk bermula. Oleh itu, kami mempunyai Program Bantuan Peniaga Baharu yang mana kami membekalkan bantuan dalam bentuk baucar kedai Shopee bernilai RM100, kredit pengiklanan Shopee bernilai RM200, yuran komisen kosong peratus dan penyertaan percuma dalam kempen-kempen seperti kempen 7.7, jualan tengah tahun dan banyak lagi.

Apakah jenis barangan yang dijual oleh penjual wanita?

 
Seperti biasa, penjual wanita akan memilih produk seperti pakaian untuk semua peringkat umur dan tudung, kelengkapan dan peralatan rumah termasuk cadar, selimut, bantal, cermin, rak dan pokok tiruan.

Mereka juga menjual pelbagai jenis pelitup muka termasuk pelitup muka guna semula yang dibuat daripada fabrik berkua­liti termasuk corak batik.
Selain itu, mereka juga menjual tablet, telefon pintar, selongsong telefon (phone casing), kabel pengecas, kaca terbaja (tempered glass), desk organiser dan bank kuasa (power bank).

Lebih menarik, mereka juga menjual aksesori kereta seperti bateri kereta, wiper, penapis penyaman udara untuk kereta dan skirting kereta.

Berapakah umur penjual wanita dan bagaimana pendapatan bulanan mereka?

 
Majoriti penjual wanita di platform kami berumur antara 25 hingga 34 tahun.

Pendapatan purata yang dijana oleh seseorang penjual sa­ngat bergantung kepada pelbagai faktor antaranya adakah mereka penjual sepenuh masa atau secara sambilan, jenis produk yang dijual dan kepelbagaian bara­ngan yang dijual.

Daripada kajian kami, jualan bagi 50 penjual wanita telah menjana jualan masing-masing hampir RM500,000 dalam separuh pertama tahun 2021 ketika menjual di Shopee.

Apakah trend terbaharu di platform e-dagang selepas pandemik berbanding sebe­lumnya?

 
Sebelum penularan wabak Covid-19, rakyat Malaysia membeli-belah secara online untuk membeli barangan persendirian, fesyen, barangan keperluan rumah termasuk tudung, kasut, botol air, telefon, permainan serta makanan tidak mudah rosak.

Tetapi selepas penularan pandemik, kami mendapati lebih ramai yang semakin bergantung kepada pembelian secara online untuk mendapatkan semua barangan mereka, terutamanya barangan runcit dan keperluan harian.

Ini telah mewujudkan permintaan baharu bagi sektor e-dagang, yang mana rakyat Malaysia kini telah bermula membeli hasil segar seperti daging, sayur-sa­yuran dan buah-buahan yang ­biasanya dibeli secara offline sebelum ini. Peningkatan permintaan untuk hasil segar ini telah menambahkan hampir 170,000 produk baharu yang tersenarai dalam segmen hasil segar di platform kami.

Apakah produk lain yang menjadi kegemaran pelanggan di Shopee? 

 
Trend menarik juga dilihat pada segmen komputer riba, monitor, mesin pencetak, meja kerja, kerusi dan aksesori komputer memandangkan ramai yang bekerja dari rumah.

Barangan penjagaan diri se­perti ubat gigi, syampu, pencuci badan, pembersih muka serta tuala wanita juga menjadi pilihan pelanggan.

Alat dandanan seperti pencukur elektrik dan gunting rambut dan penimbang badan digital juga menyaksikan pe­ningkatan permintaan yang mendadak, ekoran penutupan salun dan kedai gunting rambut.

Sementara itu, peralatan sukan seperti dumbell, tikar yoga dan tali lompat juga meningkat daripada segi populariti kerana rakyat Malaysia berusaha untuk tetap aktif dan cergas, di sam­ping mencari hiburan dengan membeli produk-produk gaya hidup seperti televisyen pintar dan sistem bunyi serta permainan se­perti Monopoly, congkak, Uno dan kolam renang kembung (inflatable swimming pool).

Sumber dari Kosmo!

 

 

 

 

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Top Ad 728x90