Pendaftaran Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 bagi peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro dibuka mulai hari ini hingga 31 Julai, secara dalam talian.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pendaftaran itu dibuka kepada pemohon baharu yang boleh dibuat melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my.

Katanya, dengan adanya proses pendaftaran baharu ini, sebahagian daripada kalangan PKS mikro yang tidak lulus dan belum menerima GKP masih diberi ruang untuk mengemuka permohonan untuk dibuat pengesahan semula.

"Penerima GKP sedia ada tidak perlu membuat sebarang permohonan," katanya dalam kenyataan.

GKP 4.0 ialah geran di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan pada 28 Jun lalu.

Melalui geran itu kerajaan memperuntuk RM1 bilion dengan bayaran akan dibuat pada September 2021 (RM500) dan November 2021 (RM500) membabitkan penerima GKP sedia ada dan juga pemohon yang baharu diluluskan.

Tengku Zafrul berkata, PKS mikro yang layak untuk GKP 4.0 ialah perniagaan yang menepati kriteria PKS mikro dan juga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sehingga 30 Jun lalu.

Katanya, untuk maklumat lanjut, pemohon GKP boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi GKP.

"Secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada hampir 1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak COVID-19 melanda negara RM6.1 bilion.

"Kerajaan berharap agar bantuan langsung berterusan yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi pada ketika ini," katanya.

Sumber dari Berita Harian