Beberapa hari ini viral nama rakyat Malaysia yang tinggal di Gaza. Bermula dengan pembabitan dalam misi kemanusiaan membantu rakyat Palestin di Gaza tiga tahun lalu, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman kini menjadi 'bapa segera' kepada lima anak yatim negara itu.

Misi kemanusiaan yang disertai oleh Muhammad Nadir lebih kepada membela anak yatim yang bapa mereka mati syahid dalam peperangan menentang zionis.

Pemuda berusia 29 tahun itu kini adalah suami kepada seorang balu pejuang Palestin, Reem Al-Minawi, 35.

Mereka bernikah pada Mei 2016 selepas berkenalan selama tiga tahun.

Muhammad Nadir, yang dikenali sebagai Nadir al-Nuri berkata, beliau memilih untuk berkahwin dengan wanita itu sebagai satu cara untuk memudahkan perjuangannya.

Bekas pelajar Sains Marin, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata, perjalanannya untuk mengahwini seorang balu syuhada Gaza tidaklah semudah disangka kerana pelbagai rintangan terpaksa dilaluinya.

Mereka sekeluarga kini penggerak kepada  Persatuan Cinta Gaza, yang menjadi penggerak untuk membela nasib anak yatim Gaza dan mengatur pelbagai program khususnya mendapatkan dana bantuan untuk mereka.

 Sumber dari Berita Harian.