Sabtu, 30 April 2022

Gerhana matahari separa dari Antartika

 


Penduduk Malaysia khususnya peminat astronomi berpeluang menyaksikan kejadian gerhana matahari separa secara langsung dari benua Antartika pada Ahad, 1 Mei 2022 ini.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, ia bakal disiarkan menerusi saluran Youtube dan Facebook rasmi Planetarium Negara bermula pukul 2.30 pagi.

Siaran langsung ini akan beri peluang kepada rakyat Malaysia menyaksikan fenomena itu kerana kali ini ia tidak dapat disaksikan terus dari mana-mana lokasi di Malaysia.

Fenomena itu juga merupakan kejadian gerhana yang pertama dalam tahun ini dan turut berlaku di sekitar wilayah rantau Amerika Selatan yang berhampiran Antartika.

Fenomena tersebut akan bermula dengan fasa separa pada pukul 2.45 pagi waktu Malaysia sebelum mencapai litupan maksimum menjelang 4.41 pagi dan ia dijangka berakhir 6.37 pagi.

Ketika kemuncak kejadian berkenaan, litupan matahari secara maksimum akan mencecah sehingga 64 peratus namun bergantung kepada lokasi pencerapan di sekitar Kutub Selatan.

Lokasi paling awal yang dapat menyaksikan fenomena gerhana separa tersebut ialah di sekitar tenggara Lautan Pasifik.

Ini diikuti dengan sebahagian besar benua Antartika sebelum pergerakannya menuju ke arah benua Amerika Selatan dan berakhir di sebahagian Lautan Atlantik.

Kejadian alamiah itu berlaku kira-kira 4.7 hari lagi sebelum bulan berada pada kedudukan apogee iaitu titik orbit bulan yang paling jauh dari bumi dengan jaraknya 405,286 kilometer.

Magnitud gerhana matahari separa itu ujarnya, adalah 0.6396 dengan kadar maksimum dijangka dapat disaksikan di Drake Passage, kawasan antara Antartika dan Amerika Selatan.

Sumber dari Kosmo!

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.