Khamis, 2 Jun 2022

Empat aplikasi untuk jemaah haji

 


Mudah, penuh dengan maklumat dan mesra pengguna.

Itulah kelebihan bakal diperoleh apabila menggunakan empat aplikasi yang dibangunkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) ketika berada di Makkah iaitu THhujjaj, Hajjmobility, E-Taib dan E-bimbingan sempena musim haji tahun ini.

Pengarah Operasi Bahagian Teknologi Maklumat Haji TH, Shamsul Kamar Hussein Kamal, berkata aplikasi itu bukan sahaja boleh menjadi saluran maklumat penting untuk petugas tetapi juga rujukan kepada pelbagai persoalan bagi 14,306 jemaah Malaysia.

Lebih menarik, katanya, pengguna mampu menguasainya dalam tempoh singkat, termasuk warga emas dan mereka yang kurang cekap menggunakan teknologi.

"Sebenarnya ada peningkatan pemahaman mengenai teknologi maklumat dalam kalangan warga emas sekarang tetapi mereka yang ada masalah akan dibantu oleh petugas terutama ketika menggunakan THhujjaj.

"THhujjaj ini mudah digunakan. Jemaah haji yang pertama kali pun tak perlu risau kerana ia sangat mudah dan semua isu berkaitan haji boleh diperoleh daripada aplikasi itu," katanya kepada pemberita di Bangunan Al Jandriah di sini.

Shamsul Kamar berkata, tempoh dua tahun tidak bertugas di Makkah akibat COVID-19 digunakan sebaiknya oleh pasukan teknologi maklumat TH untuk melakukan penambahbaikan sistem sedia ada, selain berpeluang mencipta aplikasi baharu.

Mengakui peredaran teknologi yang semakin pantas, beliau berkata, TH tidak ketinggalan mendapatkan penggunaan sistem terbaik dan terkini supaya tidak membebankan jemaah haji kelak.

"Proses pembangunan digitalisasi dilakukan selepas TH melihat keperluan untuk memudahkan jemaah. Kita mulakan THhujjaj ini dah lebih empat tahun termasuk mengkaji apa yang boleh ditambah baik dengan membuat pelbagai versi percubaan.

"Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, ia telah siap tetapi tidak dapat dilakukan sesi ujian kerana sistem ini hanya boleh digunakan di Makkah," katanya.

Shamsul Kamar berkata, Hajjmobility akan membantu petugas memantau semua pergerakan jemaah terutama dalam menyusun pengangkutan dan penginapan.

Malah, katanya, sistem itu mampu mengurangkan kesilapan pengurusan ketika di Tanah Suci. 

Sumber : BERNAMA

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.