Khamis, 2 Jun 2022

TV3 rai ulang tahun ke-38

 


      1 Jun, TV3, stesen televisyen nombor satu negara, menginjak usia 38 tahun.

Sejak beroperasi pada 1984, TV3 menjadi pilihan utama rakyat Malaysia yang mahukan kandungan program berkualiti dan terkini.

Sempena sambutan ulang tahunnya, TV3 menyediakan pelbagai program menarik dan kejutan untuk menyemarakkan bulan istimewa ini menerusi tagline 'Sentiasa Bersamamu'.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata program terbitan TV3 terus diperbaharui sesuai dengan perubahan era digital.

"TV3 sudah bersiaran selama 38 tahun di negara kita. Zaman bersilih ganti, kita kini berada pada era digital yang mana semua maklumat dan kandungan hiburan hanya di hujung jari.

"Kandungan program juga tidak lari daripada proses pembaharuan dan pertukaran.

"Oleh itu, seluruh tenaga kerja dan kru produksi TV3 terus komited memastikan jenama TV3 yang terpahat dalam hati rakyat Malaysia seperti Buletin Utama (BU), Anugerah Juara Lagu (AJL), 999, Majalah 3 (M3), Jejak Rasul, Malaysia Hari Ini (MHI) dan Wanita Hari Ini (WHI) berinovatif serta sentiasa menghidangkan paparan menarik dan memenuhi cita rasa penonton," katanya dalam kenyataan.

Khairul Anwar berkata, sepanjang bulan ini, TV3 berharap penonton setia terhibur dengan paparan istimewa dalam program terbitannya.

"Tidak ketinggalan telefilem gandingan pelakon handalan tanah air, seleksi filem 'blockbuster' di slot Panggung Sabtu dan slot Magnificent 8 yang akan membawakan siri francais filem Jurassic Park," katanya.

Tambah Khairul Anwar, sempena ulang tahun ke-38, TV3 berkolaborasi dengan ilustrator, Miriam Omar untuk menghasilkan karya seni ilustrasi yang menggambarkan perjalanan TV3 sebagai saluran sukaramai sepanjang dekad.

"Sentuhan magis Miriam juga menzahirkan kandungan popular TV3 di monumen dan bangunan ikonik serata Malaysia," katanya.

Memperincikan kandungan menarik sepanjang bulan ini, antara lain, Khairul Anwar berkata, BU mula memaparkan tujuh laporan khas sejak 26 Mei lalu.

"Laporan khas itu menelusuri program TV3 yang berjaya memahat hati penonton setia iaitu AJL, M3, Nona, Jejak Rasul, MHI, WHI, 999 dan BU.

"Lebih istimewa, 12 penyampai berita legenda turut beraksi kembali di pentas BU bersama penyampai berita sedia ada," katanya.

Khairul Anwar berkata, selain itu, M3 membawa paparan istimewa mengenai tragedi Highland Towers. Ketika tragedi itu, TV3 adalah media pertama yang melaporkan berita dan perkembangan semasa di tapak kejadian.

"Selain itu, M3 membawa penonton melihat evolusi program itu seperti sorotan saat getir wartawan Fariha Onn yang membuat liputan kejadian letusan Gunung Merapi di Jogjakarta," katanya.

Selain itu, mengikut maklumat TV3, Nona bakal menampilkan Amyra Rosli bersama bekas hos program berkenaan iaitu Neelofa dalam episod khas, Ahad ini, jam 2 petang.

"Amyra dan Neelofa akan berbicara mengenai topik pemerkasaan wanita baik dari dahulu hingga masa depan," kata kenyataan TV3.

Bagi peminat kisah jenayah, 999 akan menyiarkan temuramah bersama wartawan TV3 yang membuat liputan kejadian dan perbicaraan kes jenayah sensasi pada siaran 7 Jun ini dan minggu berikutnya, 14 Jun.

"Program 999 juga menayangkan rakaman di sebalik tabir yang tidak pernah dipaparkan di TV. Program ini bakal menyingkap dua insiden yang menjadi pencetus kerajaan menggubal undang-undang baharu iaitu insiden HIV dan dasar kad pengenalan Malaysia," katanya.

Bagi pengikut setia slot Cerekarama, usah ketinggalan menyaksikan pelakon popular tanah air dalam empat telefilem setiap Sabtu, jam 10 malam, sepanjang bulan ini.

Antaranya, telefilem Dendam Penunggu yang menampilkan Ismail Izzani dan Shalma Eliana; Matahari Tak Bercahaya (Nad Zainal dan Fattah Amin); Dania (Aedy Ashraf dan Puteri Balqis) serta Langit (Eira Syazira dan Azad Jasmin).

Lebih istimewa, dua telefilem yang diilhamkan daripada dua laporan khas 999, iaitu telefilem Matahari Tak Bercahaya memaparkan insiden HIV dan Dania yang berkisar dasar kad pengenalan Malaysia.

Bagi memeriahkan sambutan ulang tahun, TV3 akan menganjurkan Fiesta TV3 Sentiasa Bersamamu di pekarangan Sri Pentas pada 18 Jun ini.

Orang ramai dijemput menyertai pelbagai aktiviti riadah dan beramah-mesra dengan selebriti jemputan.

Panggung Sabtu menyajikan filem hebat Hindi lakonan bintang terkenal Bollywood seperti Salman Khan, Hrithik Roshan dan Aishwarya Rai.

Nantikan kemunculan mereka mulai Sabtu ini hingga 18 Jun, mulai jam 2 petang menerusi filem Bodyguard, Guzaarish, Main Aurr Mrs Khanna dan English Vinglish.

Seiring dengan tayangan filem terbaru Jurassic World Dominion, slot Magnificent 8 akan membawa penonton mengikuti pengembaraan Jurassic dengan tayangan siri francais filem Jurassic Park mulai 12 Jun, jam 3 petang.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.